Selasa, 17 Mac 2009

AtoK T2850

Kain batik yang ku hadiahkan untukmu,
Tiada sempat kau gunakan,
Pesanmu, selimutilah badanmu dengannya,
Dapatkah atok menebak masa depan,
Atau Tuhan lebih menyayangimu.
Bagai halilintar, sekelip mata,
Ku saksikan kau berjuang.
Tabah dan tawakal dan akhirnya,
Dingin subuh, 29 Februari 2004,
Kain batik itu menyelimuti tubuhmu.

Kehilangan atok terlalu menghiris,
Ataukah hanya aku yang merasa,
Terlalu sikit dapat kubalas setiap pengorbanan dan jasamu,
Dan dalam kehidupan yang semakin bercabang, luas
Aku menjadi semakin piatu.

Atok ibarat pohon nan rimbun,
Teguh dan sentiasa melindungi ku,
Dari terik dan taufan cuaca,
Atok sedia mengongsi air, sinar, baja,
Kerana atok yakin,
Setiap kami adalah tumbuhan yang istimewa,
Satu hari kan berupaya menjadi pohon.

Tidak bisa ku lupakan jasamu atok,
Membesarkan aku, cucu yang kau jadikan anakmu,
Tidak akan ku lenyapkan dari ingatanku,
Air mata yang atok titiskan,
Sepanjang perjalanan dari Kg Parit Thabur ke Johor Bharu,
Atau ria-laramu di perkampungan setinggan Bakar Batu,
Penantianmu ketika aku pulang lewat dari mengaji,
Doronganmu terhadap cita-cita ku,
Kejutanmu agar tidak lewat ke sekolah,
Iringan doa dan air matamu yang tidak penah lelah untukku,
Ketabahan hatimu dan keyakinan mu terhadapku,
Dalam getir dan sengsara atok terusan tersenyum,
Bikin hatiku bahagia, dalam doa, kasih sayang dan kemaafanmu.

Dinihari, ku kerap terkenangkan,
Ceritera-ceritera yang pernah kau sampaikan,
Sejarah tentang penderitaan ketika jepun melanda,
Komunis bermaharajalela,
tentang perit jerih bagi sebuah kemerdekaan,
Menyedarkan aku untuk bersyukur dengan
keharmonian ku kecapi,
Kisah misteri, ceritera para nabi,
kisah jenaka yang mengeletek jiwa,
Dan tidak lupa petua dan masakan tradisi mu,
Agar ku bisa menjadi wanita sejati kebangganmu.
Atok titipkan aku semangat dan tunjuk-ajar,
Menyerlah kan aku untuk menjadi seorang yang bermaruah,
Sentiasa menginsafi diri dengan kebesaran dan kekuasan ALLAH.

Dalam peredaran masa semakin tua, perubahan dunia,
Aku amat merinduimu atok,
Sarapan pagi dengan hidangan lempengmu,
Tengahari dengan nasi berlaukan garam dan air teh ciptaanmu,
Bagaimana kau masukkan ubat dalam buburku,
kerana kedegilanku,
Duduk-duduk sepetang melayan atok yang hanyut
dengan muvi hindinya,
Memerhati atok di dapur, menasihatiku, meleteriku,
Setiap kali ku memberi alasan enggan belajar memasak,
Gurauanmu, bertikam lidah, hanya kerana ku
rasakan petuamu tahyul,
Keprihatinanmu, kegelisahanmu, takkala kaki ku tercucuk paku,
dek kenakalanku,
Kasih sayangmu mempertahanku dirotan ibu kerana kekhilafanku,
Tidurmu, dakapanmu, cumbuanmu, karenah dan perhatianmu,
Oh betapa aku rindukan mu, atok.

Tiada anyaman indah seagung kasihmu,
Atok oh atok ku,
Kau lah jauhari arif,
Mohor manikam,
Segala pesanan dan doamu,
Akan ku kenang,
InsyaALLAH kutunaikan.

Tiada ulasan: